Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada yang beragama Islam.

Saya minta maaf kerana pada tahun ini saya tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama-sama dengan mengadakan rumah terbuka seperti biasa. Saya juga ingin meminta maaf kerana tidak dapat menerima pelawat sepanjang berada di Institut Jantung Negara atas nasihat doktor.

Bagaimanapun saya dan isteri saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terimakasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya agar cepat pulih.

Kami berdua juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah menghantar ucapan selamat, yang telah mengadakan solat hajat serta majlis doa selamat untuk kesihatan saya.

Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertambah baik berkat doa yang dipohon serta usaha yang dilakukan semua doktor pakar yang terlibat serta staf-staf perubatan IJN.

Di sini saya dan isteri saya juga merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kami kepada kesemua mereka yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang bulan Ramadhan untuk berusaha memulihkan kesihatan saya. Tidak mungkin kami dapat membalas segala usaha ini. Namun saya dan isteri sentiasa berdoa agar semua yang dilakukan dibalas dengan keberkatan dan dirahmati Allah s.w.t.

Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Dr Mahathir bin Mohamad
Dr Siti Hasmah Mohd Ali
1 Syawal 1428 Hijrah

No comments: