Tuesday, August 21, 2007

Lima puluh tahun terang bulan terbarai

DARI JELEBU
Hishamuddin Rais

Ha ha ha…. Semuanya sedang terbarai. Retak, pecah akhirnya terbarai. Ketika saya menulis ini muzik latar yang mengiringi ketikan jari saya di lap top ialah putaran muzik Memula Moon versi paling terbaru. Ini versi rap rock parodi counter culture yang cool lagi menggiurkan.Tiga helai bulu ari dan tiga helai janggut untuk anak muda yang merekonstruksi Memula Moon.

Memula Moon a.k.a Terang Bulan a.k.a Negaraku a.k.a Negara Kuku kini menjadi top hit yang hampir mencecah satu juta pendengar dan puluhan ribu memberi komen. Angka-angka ini kelihatan terus melonjak. Ratusan ribu Mak Cik Felda dan Pak Cik Teksi, di seluruh negara – dari Perlis hingga ke Mersing yang tidak ‘connected’ sedang tertanya-tanya – Negara Kuku itu apa? Tiga helai lagi bulu ari untuk Namewee.

Saya telah lupa entah berapa kali saya telah menulis tentang lagu Terang Bulan ini. Semenjak saya di Universiti Malaya dalam tahun 70-an lagi saya telah menulis dan menerangkan apakah dia si Terang Bulan. Saya tidak akan lupa bagaimana Concorong Republik Indonesia Bung Karno telah memainkan lagu Terang Bulan ketika Konfrontasi (1963-64). Terang Bulan dimainkan di concorong. Concorong? Apakah jadahnya concorong ini? Untuk mereka yang lahir pada zaman Firaun, concorong adalah perkataan Melayu untuk radio. Perkataan ini telah saya pelajari sebelum saya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Bung Karno memainkan lagu Terang Bulan di Radio Republik Indonesia untuk memperlekehkan Tengku Abdul Rahman seorang budak suruhan Inggeris yang tidak berupaya membuat lagu kebangsaan sendiri. Memang tepat anggapan Bung Karno ini. Bagaimana sebuah negara yang menggelar diri mereka – merdeka – tetapi lagu kebangsaan pun diciplak.Ha ha ha. Selama 50 tahun penciplakan ini telah disorok di bawah kopek United Malay National Organisations. Betapa besar pun kopek Rafidah dan kopek Shahrizat, penciplakan ini akhirnya diketahui umum. Memula Moon akhirnya tertonjol keluar apabila kopek-kopek United Malay National Organisations yang semakin mengecut.

Pada satu ketika dahulu lagu Terang Bulan opps... Negara-ku ini dimainkan di panggung wayang. Ini pun ketika saya belum belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Awalnya Terang Bulan dimainkan sebelum filem bermula. Kami kanak-kanak seperti biasa dibuli agar bangun berdiri – kunoon –sebagai contoh rakyat patriotik. Kemudian, entah apa berlaku Terang Bulan dimainkan apabila filem selesai diputar. Akhirnya hingga ke hari ini satu hampeh pun tidak ada lagi. Warga telah bosan dengan Terang Bulan.

Sebenarnya pada ketika itu dalam panggung wayang tidak sesiapa yang ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi dan bendera Star and Stripes opps salah lagi... apabila bendera Tanah Melayu berkibar. Kami anak-anak sekolah sahaja yang berdiri kerana takut (sic) kalau-kalau cikgu ada sama di dalam panggung. Pak Cik, abang dan kakak langsung tidak ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi.Semua ini berlaku ketika beberapa tahun sesudah British meninggalkan Tanah Melayu. Ini di era Firaun belum menjadi Firaun. Ini di zaman surat beranak Mahathir masih ditulis ‘son of Kutty’. Ini sebelum Razak Hussein dapat berkenalan dengan Sarimah. Ini pada zaman ada joget lambak selepas perkahwinan anak wakil rakyat Pas.

Zaman yang saya katakan ini ialah zaman sebelum kita semua boleh menggoogle. Zaman sebelum Mahazalim dan Mahafiraun menjadi santapan bacaan. Zaman sebelum blog wujud dan menyusahkan Utusan Malaysia dan RTM.

Kini kita telah memasuki zaman pasca moden. Semuanya boleh. Naratif induk tentang dunia ini di wujudkan oleh tuhan dalam masa tujuh hari telah dipersoalkan. Meta naratif tentang Adam dan Hawa hanya dilihat sebagai metafora. Semua naratif boleh dipersoalkan. Semua naratif telah berkecai dan terbarai. Tidak wujud lagi pemusatan hegemoni naratif yang menjadi ikutan umat manusia. Kita semua telah ‘connected’- manusia pasca moden hanya perlu menggoogle untuk mengetahui apa sahaja maklumat dalam dunia ini.

Kerana itu saya dapat mengetahui bahawa Terang Bulan, Negara-ku, Negara Kuku berasal dari lagu Memula Moon. Jika tidak percaya apa yang saya tulis sila google perkataan Memula Moon. Tidak percaya lagi? Sila google perkataan Negara-ku. Masih was-was, sila lawati YouTube. Di sini dapat dilihat bukti-bukti sahih tentang asal-usul Negara Kuku. Bukti ini boleh kita semua dapati tanpa perlu berhubung dengan Gani Patail atau merasuah sesiapa untuk mendengar alunan gesekan biola Memula Moon.

Ha ha ha. Lima puluh tahun Projek Malaysia telah terbukti semakin gagal. Apa yang sedang kita semua lihat dan baca hari ini adalah manifestasi dari kegagalan Projek Malaysia. Projek Malaysia ini tidak bertiang, tidak berpaksi dengan kebenaran. Projek Malaysia tidak berdiri di atas fakta sejarah. Projek Malaysia berdasarkan kong kali kong dan klentong demi klentong. Tutup lubang gali lubang.

BUKTI PERTAMA – Malaysia BUKAN 50 tahun. Hari Malaysia BUKAN 31 Ogos. Projek Malaysia bermula pada 16 September 1963. Sila google untuk kesahihan fakta ini. Jika TIDAK percaya sila pergi tanya Mat Sabah atau Minah Sarawak. Dua wilayah ini memasuki Malaysia pada 16 September 1963 BUKAN 31 Ogos 1957.

BUKTI KEDUA - Tuntutan MERDEKA adalah projek dan tuntutan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Merdeka BUKAN projek United Malay National Organisations. Projek United Malay Organisations ialah – HIDUP Melayu (macamlah Tanah Melayu tak ada oksigen).

BUKTI KETIGA - Kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. BOHONG. Penyokong dan anggota Parti Komunis Malaya, PKMM, Angakatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hisbul Muslimin, Malayan Democratic Union adalah di antara ribuan anak bangsa yang telah mengangkat senjata melawan penjajah British.

BUKTI KEEMPAT – Lagu Negara-ku bukan lagu hasil ciptaan warga Tanah Melayu. Lagu ini adalah ciptaan penyair dan komposer Perancis yang bernama Pierre Jean Berager yang lahir pada kurun ke-19. Beliau yang menulis muzik lagu Memula Moon a.k.a Negara-ku.

BUKTI KELIMA - Warna bendera Malaysia yang wujud hari ini tidak ada sangkut paut dengan budaya dan asas bumi ini. Bendera yang ada pada hari ini adalah ciplakkan dari bendera Amerika Syarikat. Bendera Langkasuka tamadun Melayu di Lembah Bujang ialah Merah Putih. Warna merah putih ini berkibar sebagai bendera negara Indonesia, Singapura dan dipakai oleh United Malay National Organisations sendiri.

Ha ha ha. Semuanya terbarai kerana kita semua boleh menggoogle, membaca, menulis dan menonton laman-laman web tanpa disaring oleh hegemoni daulah. Terima kasih Ronald Reagan yang telah menghadiahkan internet kepada dunia. Tiga helai bulu ari untuk arwah Ronald Reagan.

Justeru jangan hairan kenapa bendera Malaysia hari ini tidak berkibar. Dirotan, dipaksa dan disaman pun orang ramai TIDAK ambil pot. Rakyat telah muak dengan pembohongan demi pembohongan. Projek Malaysia yang penuh dengan klentong telah kelihatan gagal. Naratif Malaysia kini sedang dicabar oleh maklumat-maklumat yang bergantang-gantang keluar dari internet.

United Malay National Organisations yang terus bersikap esklusif dan possesive tentang Merdeka kelihatan terpencil bersendirian. Mereka memukul gendang maka mereka sahajalah yang berongeng. Sikap dan perangai United Malay National Organisations yang eksklusif dan tidak demokratik ini pasti akhirnya akan membosankan rakyat Sabah dan Sarawak. Tidak menghairankan satu ketika nanti rakyat Sabah dan Sarawak akan menghidupkan kembali cita-cita asal perjuangan mereka untuk menubuhkan negara merdeka Kalimantan Utara – penyatuan Sabah Sarawak dan Brunei. Fakta Kalimantan Utara ini juga telah cuba disorokkan di bawah kopek. Tetapi dengan wujudnya internet semua fakta akan muncul dengan bantuan Pak Cik saya yang bernama Lebai Google bin Mat Yahoo.

Bila rap Terang Bulan terus berputar di lap top saya tersenyum puas. Saman? Tangkap anak muda yang mengkonstruk Memula Moon? Rotan dia? Masukkan dalam penjara? Poorah. Hanya seorang sahaja yang berhak menyaman iaitu manusia yang bernama Pierre Jean Berager. Saman dari kaum keluarga Jean Beranger wajib disampaikan kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang masih menganggap lagu Memula Moon ini sebagai lagu Negara-ku.

Apakah saya seorang pengkhianat bangsa kerana menulis perkara-perkara ini? Apakah saya tidak patriotik? Sila google dan baca apa kata Mark Twain tentang patriotik. Pengkhianat bangsa? Dalam negara yang penuh dengan klentong, penipuan dan pembohongan bercakap benar adalah tindakan yang revolusioner.

Gedung dan kedai

DARI JELEBU
Hishamuddin Rais

Ketika saya bersekolah rendah dulu saya telah diajar oleh Mister Manjeet Singh yang lulus dari kolej perguruan Kirby, United Kingdom. Guru darjah saya ini dihantar ke sana ketika Tanah Melayu masih dalam jajahan British. Kami dalam darjah 3 merasa bertuah mendapat guru hebat seperti Mister Manjeet. Dari Mister Manjeet kami anak-anak murid dapat melihat duit syiling dan duit penny. Kami cukup gembira bercampur hairan apabila dapat melihat rupa duit orang putih dari luar negara.Ada satu perkara yang di kesahkan oleh Mister Manjeet. Kesah ini cukup menakjubkan kami. Kesah ini tentang kota London yang memiliki gedung membeli-belah yang cukup besar dan luas. Kami anak sekolah dari Jelebu hanya tercengang melopong mendengar. Kami tidak tahu dan tidak dapat menggambarkan betapa besarnya gedung membeli-belah di kota London itu.

Mengikut Mister Manjeet, dalam gedung ini semua ada. Apa sahaja barang yang diperlukan semua dapat dibeli. Jika barang yang diperlukan oleh pembeli tidak ada di gedung ini, maka tuan empunya gedung akan mencari, memesan sehingga barang ini didapati. Kami cukup hairan, malah seorang kawan saya bertanya apakah gajah juga dapat dibeli dari gedung ini? Mister Manjeet menganggukkan kepala.

Betul hebat gedung membeli-belah dalam kota yang paling besar dalam dunia ini. Saya tidak dapat menggambarkan kehebatan gedung ini kerana di pekan Kuala Klawang hanya ada kedai-kedai kecil tidak sampai 30 buah. Dari pekan kecil ini kami dapat membeli barang harian – gula, tepung, minyak, susu dan keperluan lain. Di pekan ini juga, orang kampung menjual getah sebagai punca ekonomi.

Dalam pekan kami ada sebuah pasar kecil - empat atau lima gerai – yang menjual sayuran segar, ikan dan daging. Sayuran ini datang dari Titi dan kawasan persekitaran yang tidak begitu jauh dari Kuala Klawang. Ikan pula datangnya dari Port Dickson atau Melaka. Dua gerai daging - daging lembu disembelih di kampung dan daging babi disembelih di pinggir pekan.

Ini adalah zaman sebelum Giant, Tesco, Carrefour, Sainsbury, Walmart datang menceroboh memasuki negara-negara dunia ketiga. Ini sebelum wujudnya dasar globalisasi yang memaksa negara-negara dunia ketiga membuka pasaran mereka kepada syarikat multi-nasional. Ini adalah zaman sebelum Thierry Rommel membuka mulut busuknya tentang dasar Bank Dunia, FTA dan WTO dan pasaran bebas.Saya tidak ingin dianggap Marcel Proust - A la recherche du temps perdu – mencari detik yang hilang. Saya juga tidak ingin dianggap seorang romantis dan bernostalgia terhadap masa lampau. Saya insan realis yang menganggap kuasa imperial kapitalis moden ini sedang mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Sekali imbas kita melihat para pengguna yang datang membeli-belah di gedung pasar raya cukup menguntungkan. Bahan-bahan harian, kain baju, perabot dan bahan makanan semuanya boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Memang betul jika kita lakukan perbandingan di antara satu kilo bawang besar di pasar raya dengan harga di kedai runcit dekat rumah kita, harga pasar raya lebih murah.Waspada, kerana hakikatnya kita sedang membayar harga yang lebih tinggi. Harga ini tidak dapat dilihat dalam bentuk ringgit sen yang keluar dari saku kita. Walau apa pun, kita semua sebagai pembeli sedang membayarnya harganya. Harga pertama ialah hilangnya mata pencarian atau tertutupnya kedai-kedai kecil yang biasanya berselirat di kawasan perkampungan dan perumahan kita.

Kedai runcit di kawasan perumahan atau di kampung-kampung ini, adalah sebahagian dari penjana ekonomi tempatan. Kedai-kedai ini mungkin dilihat kecil tetapi kedai runcit ini telah memberikan khidmat kepada para pengguna. Pemilik kedai-kedai runcit ini adalah pengusaha yang berdikari. Jaringan kedai-kedai runcit biasanya dikendalikan oleh anak isteri dan kaum keluarga. Perniagaan runcit ini jika dihitung pasti menjadi satu kumpulan penjana ekonomi yang besar.Perniagaan runcit tempatan inilah yang sedang diasak dan cuba ditewaskan oleh syarikat pasar raya multi-nasional. Peruncit-peruncit kita yang sedang menjalankan perniagaan wajib dilihat sebagai penyumbang positif terhadap ekonomi tempatan. Hasil pendapatan mereka tidak pernah meluncur ke London, Paris, Brussels atau Rome. Peruncit tempatan tidak terikat dengan permintaan pemegang saham. Peruncit tempatan tidak juga begitu terikat dengan pergolakan pasaran dunia

Sokongan terhadap ekonomi tempatan ini penting. Hasil dari dana perniagaan tempatan akan dijadikan modal untuk terus melabur kembali di kawasan pasaran tempatan. Dari dahulu lagi peranan pekedai kecil ini amat positif dalam membangunkan ekonomi tempatan. Memang betul, di sini saya bersikap nasionalis kerana menyokong perniagaan tempatan. Ini kerana saya sedar pengaliran dana ke luar negara akan menjerut ekonomi kita dalam masa jangka panjang.

Gedung pasar raya multi-nasional berjaya menjual dengan murah kerana mereka menjual dengan jumlah yang banyak. Dalam masa yang sama mereka berkeupayaan mendapat sokongan modal antarabangsa dalam usaha untuk melumpuhkan para peruncit kita. Kekuatan modal memastikan yang mereka dapat bertahan lama walaupun dengan harga barangan mereka agak murah.

Harga murah ini pun sebenarnya satu ilusi. Para pengguna tidak sedar bahawa kebanyakan bahan-bahan yang dijual di pasar raya ini semuanya mereka ambil dengan cara berhutang. Ertinya apa yang terletak di chiller sayuran, atau di rak makanan itu semuanya telah dibayar oleh pembekal. Pembekal tempatan ini hanya akan dibayar sesudah 2 atau 3 bulan kemudian. Di sini dana tempatan dijadikan modal pusingan. Laluan kredit perniagaan seperti ini cukup menguntungkan. Perniagaan runcit tempatan tidak mungkin akan mendapat laluan kredit yang sedemikian lumayan.

Selain dari sokongan modal antarabangsa, gedung pasar raya ini telah berupaya mengepung pasaran. Gedung-gedung ini menyediakan semua keperluan dalam satu bangunan – dari barang dapur hingga ke bedak dan gincu. Dari perabot rumah hingga ke aksesori kereta. Apa yang mereka boleh jual akan mereka jual.

Harga murah ini pula dapat diwujudkan kerana pasar raya ini mengimport bahan-bahan dari negara China. Kualiti dan taraf kebersihan bahan-bahan import ini sedang dipertikaikan. Hari ini, penguatkuasa bahan import di Amerika dan Eropah cukup berwaspada tentang kualiti dan asas keselamatan bahan import dari China. Barangan dari China murah tetapi banyak yang tidak bermutu dan ada yang berbahaya untuk kesihatan. Di negara dunia ketika seperti di negara kita, yang undang-undangnya boleh dijual-beli, bahan-bahan ‘murah dan berbahaya’ ini masuk tanpa dikawal dan dijual di gedung pasar raya.

Gedung-gedung ini wujud dengan pelbagai jenama. Tetapi pada hakikatnya para pemegang saham perniagaan adalah dari kumpulan yang sama. Contohnya, kadang-kadang ada perbezaan harga barangan dari satu gedung ke gedung yang lain. Ini sebenarnya hanyalah taktik pemasaran. Ianya sebagai satu daya tarikan untuk menjemput pembeli. Di gedung mana pun kita membeli belah semuanya akan masuk ke dalam kantung yang sama. Keuntungan ini akan mengalir ke luar negara.

Awal dahulu gedung-gedung ini hanya di buka di bandar-bandar besar, kini ianya telah menerbus masuk ke pekan-pekan kecil. Kedatangan mereka ke pekan-pekan kecil pasti akan mengasak lagi perniagaan runcit tempatan. Kawasan-kawasan lapang yang dulunya padang permainan diambil oleh pasar raya untuk dijadikan tempat letak kereta.

Harga yang mahal juga sedang kita bayar kerana semua bahan-bahan dari pasar raya ini telah di bungkus dalam pelbagai jenis kotak. Bertan-tan kotak-kotak plastik dan poly yang amat susah untuk dilupuskan akhirnya akan membanjiri kawasan perumahan kita. Kita membayar harga pelupusan sampah-sampah ini, walhal yang mengaut untung ialah pemegang saham gedung pasar raya. Harga yang paling mahal yang sedang kita bayar ialah hilangnya nilai kemanusiaan kita ketika membeli-belah di pasar raya. Kita tidak lagi berbual, tawar-menawar atau gelak ketawa dengan si penjual. Dalam pasar raya tidak ada hubungan intim antara manusia pembeli dengan manusia penjual. Hubungan kemanusiaan telah putus. Pembeli hanya berhadapan dengan barang dan tanda harga. Semuanya dilakukan oleh mesin dan komputer.

Bila saya melihat gedung pasar raya ini maka saya teringat cerita Mister Manjeet. Gedung-gedung besar dari kota London itu kini telah sampai ke Seremban, Muar dan Mentakab. Secara rakus gedung ini sedang menundukkan peniaga runcit kita. Bandar-bandar kecil kita akan terkapai-kapai tidak bernafas. Semuanya nanti akan dimiliki oleh modal kuasa empayar imperial yang mengatur strategi perniagaan mereka dari London, Paris atau Brussels. Kita akan kembali melopong seperti saya melihat duit syiling dan penny dari tapak tangan Mister Manjeet 40 tahun dahulu.