Tuesday, August 21, 2007

Gedung dan kedai

DARI JELEBU
Hishamuddin Rais

Ketika saya bersekolah rendah dulu saya telah diajar oleh Mister Manjeet Singh yang lulus dari kolej perguruan Kirby, United Kingdom. Guru darjah saya ini dihantar ke sana ketika Tanah Melayu masih dalam jajahan British. Kami dalam darjah 3 merasa bertuah mendapat guru hebat seperti Mister Manjeet. Dari Mister Manjeet kami anak-anak murid dapat melihat duit syiling dan duit penny. Kami cukup gembira bercampur hairan apabila dapat melihat rupa duit orang putih dari luar negara.Ada satu perkara yang di kesahkan oleh Mister Manjeet. Kesah ini cukup menakjubkan kami. Kesah ini tentang kota London yang memiliki gedung membeli-belah yang cukup besar dan luas. Kami anak sekolah dari Jelebu hanya tercengang melopong mendengar. Kami tidak tahu dan tidak dapat menggambarkan betapa besarnya gedung membeli-belah di kota London itu.

Mengikut Mister Manjeet, dalam gedung ini semua ada. Apa sahaja barang yang diperlukan semua dapat dibeli. Jika barang yang diperlukan oleh pembeli tidak ada di gedung ini, maka tuan empunya gedung akan mencari, memesan sehingga barang ini didapati. Kami cukup hairan, malah seorang kawan saya bertanya apakah gajah juga dapat dibeli dari gedung ini? Mister Manjeet menganggukkan kepala.

Betul hebat gedung membeli-belah dalam kota yang paling besar dalam dunia ini. Saya tidak dapat menggambarkan kehebatan gedung ini kerana di pekan Kuala Klawang hanya ada kedai-kedai kecil tidak sampai 30 buah. Dari pekan kecil ini kami dapat membeli barang harian – gula, tepung, minyak, susu dan keperluan lain. Di pekan ini juga, orang kampung menjual getah sebagai punca ekonomi.

Dalam pekan kami ada sebuah pasar kecil - empat atau lima gerai – yang menjual sayuran segar, ikan dan daging. Sayuran ini datang dari Titi dan kawasan persekitaran yang tidak begitu jauh dari Kuala Klawang. Ikan pula datangnya dari Port Dickson atau Melaka. Dua gerai daging - daging lembu disembelih di kampung dan daging babi disembelih di pinggir pekan.

Ini adalah zaman sebelum Giant, Tesco, Carrefour, Sainsbury, Walmart datang menceroboh memasuki negara-negara dunia ketiga. Ini sebelum wujudnya dasar globalisasi yang memaksa negara-negara dunia ketiga membuka pasaran mereka kepada syarikat multi-nasional. Ini adalah zaman sebelum Thierry Rommel membuka mulut busuknya tentang dasar Bank Dunia, FTA dan WTO dan pasaran bebas.Saya tidak ingin dianggap Marcel Proust - A la recherche du temps perdu – mencari detik yang hilang. Saya juga tidak ingin dianggap seorang romantis dan bernostalgia terhadap masa lampau. Saya insan realis yang menganggap kuasa imperial kapitalis moden ini sedang mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Sekali imbas kita melihat para pengguna yang datang membeli-belah di gedung pasar raya cukup menguntungkan. Bahan-bahan harian, kain baju, perabot dan bahan makanan semuanya boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Memang betul jika kita lakukan perbandingan di antara satu kilo bawang besar di pasar raya dengan harga di kedai runcit dekat rumah kita, harga pasar raya lebih murah.Waspada, kerana hakikatnya kita sedang membayar harga yang lebih tinggi. Harga ini tidak dapat dilihat dalam bentuk ringgit sen yang keluar dari saku kita. Walau apa pun, kita semua sebagai pembeli sedang membayarnya harganya. Harga pertama ialah hilangnya mata pencarian atau tertutupnya kedai-kedai kecil yang biasanya berselirat di kawasan perkampungan dan perumahan kita.

Kedai runcit di kawasan perumahan atau di kampung-kampung ini, adalah sebahagian dari penjana ekonomi tempatan. Kedai-kedai ini mungkin dilihat kecil tetapi kedai runcit ini telah memberikan khidmat kepada para pengguna. Pemilik kedai-kedai runcit ini adalah pengusaha yang berdikari. Jaringan kedai-kedai runcit biasanya dikendalikan oleh anak isteri dan kaum keluarga. Perniagaan runcit ini jika dihitung pasti menjadi satu kumpulan penjana ekonomi yang besar.Perniagaan runcit tempatan inilah yang sedang diasak dan cuba ditewaskan oleh syarikat pasar raya multi-nasional. Peruncit-peruncit kita yang sedang menjalankan perniagaan wajib dilihat sebagai penyumbang positif terhadap ekonomi tempatan. Hasil pendapatan mereka tidak pernah meluncur ke London, Paris, Brussels atau Rome. Peruncit tempatan tidak terikat dengan permintaan pemegang saham. Peruncit tempatan tidak juga begitu terikat dengan pergolakan pasaran dunia

Sokongan terhadap ekonomi tempatan ini penting. Hasil dari dana perniagaan tempatan akan dijadikan modal untuk terus melabur kembali di kawasan pasaran tempatan. Dari dahulu lagi peranan pekedai kecil ini amat positif dalam membangunkan ekonomi tempatan. Memang betul, di sini saya bersikap nasionalis kerana menyokong perniagaan tempatan. Ini kerana saya sedar pengaliran dana ke luar negara akan menjerut ekonomi kita dalam masa jangka panjang.

Gedung pasar raya multi-nasional berjaya menjual dengan murah kerana mereka menjual dengan jumlah yang banyak. Dalam masa yang sama mereka berkeupayaan mendapat sokongan modal antarabangsa dalam usaha untuk melumpuhkan para peruncit kita. Kekuatan modal memastikan yang mereka dapat bertahan lama walaupun dengan harga barangan mereka agak murah.

Harga murah ini pun sebenarnya satu ilusi. Para pengguna tidak sedar bahawa kebanyakan bahan-bahan yang dijual di pasar raya ini semuanya mereka ambil dengan cara berhutang. Ertinya apa yang terletak di chiller sayuran, atau di rak makanan itu semuanya telah dibayar oleh pembekal. Pembekal tempatan ini hanya akan dibayar sesudah 2 atau 3 bulan kemudian. Di sini dana tempatan dijadikan modal pusingan. Laluan kredit perniagaan seperti ini cukup menguntungkan. Perniagaan runcit tempatan tidak mungkin akan mendapat laluan kredit yang sedemikian lumayan.

Selain dari sokongan modal antarabangsa, gedung pasar raya ini telah berupaya mengepung pasaran. Gedung-gedung ini menyediakan semua keperluan dalam satu bangunan – dari barang dapur hingga ke bedak dan gincu. Dari perabot rumah hingga ke aksesori kereta. Apa yang mereka boleh jual akan mereka jual.

Harga murah ini pula dapat diwujudkan kerana pasar raya ini mengimport bahan-bahan dari negara China. Kualiti dan taraf kebersihan bahan-bahan import ini sedang dipertikaikan. Hari ini, penguatkuasa bahan import di Amerika dan Eropah cukup berwaspada tentang kualiti dan asas keselamatan bahan import dari China. Barangan dari China murah tetapi banyak yang tidak bermutu dan ada yang berbahaya untuk kesihatan. Di negara dunia ketika seperti di negara kita, yang undang-undangnya boleh dijual-beli, bahan-bahan ‘murah dan berbahaya’ ini masuk tanpa dikawal dan dijual di gedung pasar raya.

Gedung-gedung ini wujud dengan pelbagai jenama. Tetapi pada hakikatnya para pemegang saham perniagaan adalah dari kumpulan yang sama. Contohnya, kadang-kadang ada perbezaan harga barangan dari satu gedung ke gedung yang lain. Ini sebenarnya hanyalah taktik pemasaran. Ianya sebagai satu daya tarikan untuk menjemput pembeli. Di gedung mana pun kita membeli belah semuanya akan masuk ke dalam kantung yang sama. Keuntungan ini akan mengalir ke luar negara.

Awal dahulu gedung-gedung ini hanya di buka di bandar-bandar besar, kini ianya telah menerbus masuk ke pekan-pekan kecil. Kedatangan mereka ke pekan-pekan kecil pasti akan mengasak lagi perniagaan runcit tempatan. Kawasan-kawasan lapang yang dulunya padang permainan diambil oleh pasar raya untuk dijadikan tempat letak kereta.

Harga yang mahal juga sedang kita bayar kerana semua bahan-bahan dari pasar raya ini telah di bungkus dalam pelbagai jenis kotak. Bertan-tan kotak-kotak plastik dan poly yang amat susah untuk dilupuskan akhirnya akan membanjiri kawasan perumahan kita. Kita membayar harga pelupusan sampah-sampah ini, walhal yang mengaut untung ialah pemegang saham gedung pasar raya. Harga yang paling mahal yang sedang kita bayar ialah hilangnya nilai kemanusiaan kita ketika membeli-belah di pasar raya. Kita tidak lagi berbual, tawar-menawar atau gelak ketawa dengan si penjual. Dalam pasar raya tidak ada hubungan intim antara manusia pembeli dengan manusia penjual. Hubungan kemanusiaan telah putus. Pembeli hanya berhadapan dengan barang dan tanda harga. Semuanya dilakukan oleh mesin dan komputer.

Bila saya melihat gedung pasar raya ini maka saya teringat cerita Mister Manjeet. Gedung-gedung besar dari kota London itu kini telah sampai ke Seremban, Muar dan Mentakab. Secara rakus gedung ini sedang menundukkan peniaga runcit kita. Bandar-bandar kecil kita akan terkapai-kapai tidak bernafas. Semuanya nanti akan dimiliki oleh modal kuasa empayar imperial yang mengatur strategi perniagaan mereka dari London, Paris atau Brussels. Kita akan kembali melopong seperti saya melihat duit syiling dan penny dari tapak tangan Mister Manjeet 40 tahun dahulu.

No comments: